05 April 2015

Kerajaan negeri Terengganu lantik "Sekretariat Khas" untuk pantau harga barang


Kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Sekretariat Khas bagi membantu pasukan penguatkuasa memantau harga barangan di pasar raya dan kedai runcit di negeri ini.


Menteri Besar, Dato' Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata ia juga bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula Rabu lepas.

Sekretariat itu, yang dianggotai sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan badan bukan kerajaan, akan membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Neger, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) bagi mengesan peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Esok kita akan bincang bersama-sama kedua-dua jabatan itu bagi menerangkan fungsi dan peranan sekratariat ini sebelum menggerakkan secara menyeluruh pasukan yang ditubuhkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga di Pasaraya Mydin.

Beliau berkata sekretariat itu akan melakukan pemantauan harga mulai minggu depan.


Dato' Haji Ahmad Razif meninjau sendiri keadaan harga barang di Pasaraya Mydin

Kerajaan negeri juga akan membuka pusat aduan di Komplek Paya Keladi bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung peniaga kepada pihak berkuasa.

Ahmad Razif berkata, pihak berkuasa dan sekretariat khas itu juga akan turun ke peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan dan penerangan kepada penduduk kampung yang masih kabur berhubung GST. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 Penyu Malas. Powered by Blogger